Friday, May 27, 2011

Skuad berbasikal diperluas

Oleh HANIZA HASSAN
pengarang@utusan.com.my


Jalaluddin Abdul Rahman (dua dari kanan) bersalam dengan anggota skuad berbasikal ronda dan riadah
sambil diperhatikan Zainuddin Yaacob (kanan) di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, semalam.


JOHOR BAHRU 26 Mei - Polis Johor bercadang mewujudkan skuad berbasikal di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri ini bagi meningkatkan tahap kesejahteraan dan kawalan keselamatan di sesuatu kawasan.

Ketika ini, hanya IPD Johor Bahru Selatan sahaja yang mempunyai pasukan berbasikal dikenali sebagai Skuad Ronda dan Riadah (R&R).

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, skuad berbasikal tersebut ditubuhkan sejak dua bulan lalu dengan keanggotaan 25 orang termasuk pegawai dan anggota polis.

"Penubuhan skuad itu merupakan inisiatif IPD Johor Bahru Selatan untuk membanteras jenayah dengan cara melibatkan orang awam terutamanya golongan belia. Keberkesanan skuad berkenaan patut dicontohi oleh IPD lain supaya tahap keselamatan dapat ditingkatkan.

"Bagi menarik golongan remaja menyertai polis dalam usaha membanteras jenayah sangat sukar. Jadi, kita mengambil pendekatan bersukan sambil mencegah jenayah.

"Hingga kini saya difahamkan penyertaan yang diterima sangat memberangsangkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan skuad berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob.

Jalaluddin berkata, rondaan yang dilakukan bermula pukul 12 malam hingga 7 pagi dan ia tertumpu kepada kawasan panas serta melibatkan orang awam dan penduduk setempat.

Dalam setiap rondaan yang dibuat, katanya, pegawai dan anggota polis yang bertugas dilengkapi dengan alat komunikasi dan beberapa elemen keselamatan lain.

Sementara itu, Zainuddin berkata, skuad R&R bertumpu kepada kawasan yang mempunyai kadar jenayah pecah rumah dan samun malam hari yang tinggi.

Beliau berkata, program itu adalah serampang dua mata iaitu mencegah jenayah dan mewujudkan lebih ramai 'mata dan telinga' polis supaya tahap keselamatan di sesuatu kawasan dapat ditingkatkan, sekali gus memberi suasana positif kepada masyarakat.

"Kita dapati kehadiran skuad tersebut memberi kesan positif dan mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya melibatkan jenayah jalanan dan pecah rumah," katanya.